ad
AGENDA

LUAS ambil empat sampel berkait pencemaran bau Sungai Semenyih

7 Sep 2021, 1:06 PM
LUAS ambil empat sampel berkait pencemaran bau Sungai Semenyih

SHAH ALAM, 7 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil empat sampel berkaitan isu pencemaran bau yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih minggu lalu.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan sampel diambil melibatkan tanah, aliran keluar minyak dari premis, air di hulu sungai dan sampel air di pertemuan keluar Sungai Semenyih.

"LUAS tidak akan berkompromi dan tindakan tegas dikenakan kepada pelaku selaras dengan Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020.

"LUAS terus komited melaksanakan pemantauan 24 jam di lembangan sungai dalam memastikan kelansungan sumber air di Selangor terpelihara," katanya.

LUAS berkata Skuad Pantas menjalankan pemantauan statik dan pensampelan ujian bau di dua kawasan iaitu di Jabatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir yang dijalankan setiap satu jam.

"Skuad Pantas LUAS telah meletakkan serbuk karbon teraktif, pemecah minyal dan pad di kawasan berkaitan bagi mengawal sebarang pencemaran ke Sungai Semenyih," katanya.

Mengikut Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, pencemar air boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

Pada 31 Ogos, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.