ad
BERITA UTAMA

Selangor pertimbang tambah jemaah masjid dalam fasa tiga PPN

30 Sep 2021, 7:43 AM
Selangor pertimbang tambah jemaah masjid dalam fasa tiga PPN

KLANG, 30 SEPT: Bilangan jemaah masjid dan surau di Selangor mungkin ditambah susulan negeri itu beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok.

Bagaimanapun, EXCO hal ehwal agama Islam berkata kelonggaran tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kelonggaran ini bergantung pada situasi semasa serta keputusan MKN. Jika kes menurun, Insya-Allah kelonggaran akan diberikan kepada masjid untuk menambah bilangan jemaah.

"Peralihan ke fasa tiga tidak bererti kita boleh selesa dengan menganggap sudah selamat, jadi semua pihak perlu peka dan patuh SOP (tatacara operasi piawai)," kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) DUN Sungai Kandis di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini hari ini.

Pada 22 September, Selangor membenarkan 1,000 jemaah yang lengkap dos vaksin menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri dan 500 bagi solat berjemaah lima waktu.

Selain Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut beralih ke fasa tiga PPN mulai esok selepas mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan MKN.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.