ad
AGENDA

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 244 orang

29 Sep 2021, 10:49 AM
Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 244 orang

ALOR SETAR, 29 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kedah yang melibatkan daerah Sik dan Baling meningkat kepada 244 orang daripada 85 keluarga setakat jam 5 petang ini, berbanding 210 orang daripada 66 keluarga pada pagi tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling dibuka iaitu di Maktab Mahmud Baling sekali gus menjadikan sembilan PPS beroperasi sehingga petang ini.

"Di daerah Sik masih kekal dengan satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau dengan jumlah mangsa yang sama iaitu 61 orang daripada 15 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata jumlah mangsa banjir keseluruhannya di Baling setakat petang ini adalah seramai 183 mangsa daripada 70 keluarga.

Tujuh lagi PPS di Baling ialah SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung dan Dewan Banggol Derom.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.