AGENDA

Ketua ajaran sesat taubat, kembali ajaran Islam sebenar

27 Sep 2021, 6:44 AM
Ketua ajaran sesat taubat, kembali ajaran Islam sebenar

SHAH ALAM, 27 SEPT: Ketua ajaran sesat, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir mengisytiharkan dirinya bertaubat dan kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar.

Masitah Ab Jalar atau dikenali S’ttah An Nur dalam kalangan pengikutnya mengakui ajaran itu bertentangan syarak dan bersetuju bertaubat tanpa paksaan mana-mana pihak.

Masitah juga meminta pengikutnya kembali ke pangkal jalan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Pengisytiharan itu dilakukan di depan empat saksi utama dalam majlis khas di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di sini, hari ini.

Saksi terbabit adalah Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mohd Ansor Rullah Mohd Hassim.

Mohd Shahzihan berkata Masitah dipanggil memberi penjelasan di hadapan tiga pakar akidah pada 20 September lalu selepas Mufti Selangor mendapati kenyataanya  di media sosial bercanggah hukum syarak.

“Hasil daripada sesi itu, Masitah telah akur, insaf dan menyesal tentang perbuatannya itu,” katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8(b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 terhadap Masitah masih berjalan walaupun wanita itu sudah mengisytiharkan dirinya bertaubat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.