ad
AGENDA

Sambutan luar jangka, Kerajaan Negeri disaran tambah kuota dos vaksin percuma

18 Sep 2021, 7:48 AM
Sambutan luar jangka, Kerajaan Negeri disaran tambah kuota dos vaksin percuma

PETALING JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menambah kuota dos vaksin percuma dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak kerana masih ramai belum mendapat suntikan pelalian.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata ini kerana bilangan individu berdaftar di SELangkah melebihi kuota dos vaksin ditetapkan dalam program Selvax bergerak.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi lebih separuh dos vaksin daripada 600 jumlah pelalian diperuntukkan untuk kawasan Kampung Tunku habis diguna.

"Rata-rata peserta yang hadir adalah dalam kalangan warga asing, apabila mereka divaksin kita rasa lega kerana secara tidak langsung turut melindungi diri kita daripada wabak," katanya.

Beliau berkata, inisiatif menambah dos vaksin percuma dalam program Selvax akan mempercepat usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Selvax bergerak di tapak pasar malam Sungai Way, Jalan SS9A/12, di sini hari ini.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Kampung Tunku, DUN terlibat Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai dan Dengkil.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.