ad
AGENSI

56 peniaga sekitar Shah Alam setuju turun harga ayam serta-merta

16 Sep 2021, 2:23 PM
56 peniaga sekitar Shah Alam setuju turun harga ayam serta-merta

SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak 56 premis di sekitar Shah Alam bersetuju menurunkan harga ayam serta-merta susulan pemeriksaan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, berikutan berlaku kenaikan harga ayam yang mendadak di pasaran.

Pengarahnya Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata susulan pemeriksaan pihaknya sejak Isnin (13 September) hingga semalam, enam lagi premis setuju secara bersyarat menurunkan harga ayam, iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga ayam di sekitar Shah Alam memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula dan menurunkan harga jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri ayam di sekitar Selangor untuk berbincang dan mendapatkan kerjasama berhubung harga barang kawalan itu di peringkat pengeluaran anak ayam.

“Ia bagi memastikan (harga ayam) tidak pada paras harga yang tinggi bagi mengelak berlaku tekanan harga di peringkat pemborong dan peruncit ayam ketika ini, serta diharapkan dapat memberikan perubahan situasi yang stabil di pasaran,” katanya.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.