ad
AGENSI

Alami masalah jantung, MBI bantu Ali XPDC

10 Sep 2021, 2:57 PM
Alami masalah jantung, MBI bantu Ali XPDC

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membantu Ali XPDC yang mengalami masalah jantung dalam masa terdekat.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata usaha terbabit sebagai langkah meringankan beban vokalis kumpulan rock terkenal itu yang terkesan pandemik Covid-19.

“Sekarang Ali juga sudah dikategorikan sebagai asnaf. Kita akan jumpa dan cuba bantu Ali selain beberapa selebriti veteran yang bermasalah.

“Mengikut perancangan bintang legenda Datuk Jeffrydin juga akan dibantu tetapi kini beliau terkandas di rumah anaknya di Johor. Kita tunggu masa sesuai,” katanya selepas melawat bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari hari ini.

Lawatan disertai Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli turut menyerahkan bantuan wang tunai serta bakul makanan.

Sebelum ini MBI menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif; pemain gitar kumpulan Search, Kid dan pelawak Hamid Gurkha.

Ali, 53, atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya kerana mengalami masalah semput dan lemah jantung sejak 2 September lalu.

Beliau yang mempunyai lima anak berdepan masalah kewangan lebih setahun selepas tidak bekerja dan kini menerima bantuan sebanyak RM600 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.