ad
AGENDA

Pencemaran berjaya dikawal, loji rawatan dibersih sebelum air diagih

31 Ogos 2021, 12:51 PM
Pencemaran berjaya dikawal, loji rawatan dibersih sebelum air diagih

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kesan bau akibat pencemaran Sungai Semenyih berjaya dirawat malam ini manakala loji rawatan sedang dibersihkan sebelum bekalan air diagih ke kawasan terjejas.

"Proses pembersihan dan rawatan air di loji akan mengambil masa lebih kurang 14 jam," kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan.

Syarikat pembekal air tersebut akan memaklumkan pelan pemulihan bagi 463 kawasan dalam lima wilayah agihan air menerusi kenyataan media jam 7 pagi esok.

"Air Selangor telah mengaktifkan pelan mitigasi dengan mengagihkan bekalan air alternatif daripada loji rawatan air (LRA) Langat 2 dan LRA Labohan Dagang ke sebahagian kawasan di wilayah Hulu Langat dan Kuala Langat.

"Para pengguna di kawasan Kajang Baru, Kajang, Semenyih dan Beranang di wilayah Hulu Langat serta Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pulau Carey di wilayah Kuala Langat akan menerima bekalan air alternatif secara berkala," kata syarikat itu lagi.

Air Selangor telah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui 94 lori tangki kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor di pautan berikut: https://www.facebook.com/airselangor/posts/4688849484478930

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.