ad
ADN

Wakil rakyat Morib bawa isu rumah terbengkalai ke sidang Dewan Negeri

25 Ogos 2021, 1:11 AM
Wakil rakyat Morib bawa isu rumah terbengkalai ke sidang Dewan Negeri

SHAH ALAM, 24 OGOS : Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib akan membawa isu rumah terbengkalai di kawasannya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

Hasnul Baharuddin berkata selain itu, isu pandemik Covid-19 turut menjadi keutamaan untuk dibahas meskipun angka kes wabak di Morib tidak terlalu tinggi.

"Selaku timbalan speaker DNS, ruang untuk saya berbahas agak terbatas tetapi saya akan perjuangkan mengenai isu rumah terbengkalai dan ladang dusun durian.

"Malah kebajikan rakyat yang terkesan disebabkan Covid-19 juga diambil perhatian," katanya menerusi rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam tadi

Persidangan penuh DNS dijadualkan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, bermula kelmarin hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor. Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.