ad
AGENDA

Pemuzik jalanan ditempatkan di PPV Selangor, bantu jana pendapatan

7 Ogos 2021, 8:23 AM
Pemuzik jalanan ditempatkan di PPV Selangor, bantu jana pendapatan
Pemuzik jalanan ditempatkan di PPV Selangor, bantu jana pendapatan

BANTING, 7 OGOS: Nasib pemuzik jalanan atau busker akan terbela apabila mereka ditempatkan di pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah program Vaksin Selangor (Selvax).

EXCO kebudayaan dan warisan berkata buat permulaan Dewan MPKL Banting Baru menjadi PPV pertama menempatkan kumpulan tersebut semalam.

[caption id="attachment_482547" align="alignleft" width="284"] EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah[/caption]

Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu adalah salah satu usaha membantu mereka menjana pendapatan selain ia disaran Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

"Perbincangan dilakukan bersama Persatuan Busker Negeri Selangor berhubung perkara ini dan mereka mempunyai seramai lebih 2,000 ahli.

"Persetujuan dicapai dengan menempatkan busker ini di PPV negeri ini. Namun terdapat syarat iaitu ahli mestilah menetap di daerah PPV tersebut supaya usaha membantu ini sampai kepada golongan sasaran," katanya.

Borhan berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax Komuniti DUN Tanjung Sepat di Dewan MPKL Banting Baru semalam.

Beliau yang juga wakil rakyat Tanjung Sepat bercadang menempatkan kumpulan busker di empat PPV mega.

Kerajaan Persekutuan membuka empat PPV mega menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur; Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.