ad
AGENDA

Pakar: Kesan masalah mental menerusi gaya hidup dunia digital

16 Jul 2021, 11:58 PM
Pakar: Kesan masalah mental menerusi gaya hidup dunia digital

SHAH ALAM, 17 JULAI: Masyarakat kini perlu lebih peka melihat perubahan seseorang dalam dunia maya atau digital bagi mengesan masalah kesihatan mental dihidapinya.

Pakar Psikiatri Hospital Miri Dr Ravivarma Rao Panirselvam berkata masalah yang boleh mendorong kepada bunuh diri itu tidak hanya boleh dilihat dari sikap dalam kehidupan luaran sahaja.

Menurutnya, dalam penggunaan meluas teknologi masa kini perubahan sikap atau percakapan sahaja tidak mencukupi tetapi harus membabitkan kehidupannya di dunia digital.

"Contohnya bagaimana dia membuat hantaran di media sosial atau pesanan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya dibiarkan ada tanda biru (sudah dibaca) tanpa dibalas.

"Kita boleh lihat perwatakannya serta tanda dirinya mengalami masalah mental, itu tidak boleh diambil mudah dan harus dibantu segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada Bual Bicara SelangorTV: Cegah bunuh diri, tanggungjawab bersama yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Dr Ravivarma berkata mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental perlu segera mendapat rawatan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk seperti bunuh diri.

"Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan baik milik kerajaan atau swasta, boleh dapatkan bantuan juga di 20 Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) di hospital seluruh negara.

"Jangan biarkannya, kerana kita ada kes seseorang pesakit membiarkan masalah mental berlarutan tanpa rawatan sehingga 20 tahun, ini berlaku di bandar bukan pedalaman menyebabkan sukar dirawat," jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.