ad
AGENDA

Pusat nilai Covid-19, klinik bergerak dan pusat kuarantin diperluas

5 Jul 2021, 9:20 AM
Pusat nilai Covid-19, klinik bergerak dan pusat kuarantin diperluas

PETALING JAYA, 5 JULAI: Kerajaan Selangor melalui Pejabat Kesihatan Daerah menyediakan klinik bergerak, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pusat kuarantin di Pangsapuri Mentari Court PJS 8, di sini.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata elemen itu akan turut diterapkan di beberapa kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Ini merupakan elemen baharu di Selangor yang menggabungkan pusat kuarantin dan CAC di dalam kawasan PKPD...Kita juga akan perluaskan di kawasan PKPD lain termasuk di Taman Murni, Sepang.

"Konsep elemen baharu ini juga akan menumpukan kawasan perumahan bercampur (warganegara dan warga asing). Inisiatif menubuhkan CAC dalam kawasan PKPD ini juga merupakan yang pertama di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan program pemberian vaksin kepada penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 di sini, hari ini.

Pada masa sama Amirudin berkata tindakan mewujudkan CAC di kawasan tersebut bagi memudahkan penduduk supaya tidak perlu keluar untuk menilai sejauh mana tahap jangkitan mereka.

"Mana-mana kes positif yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke hospital. Untuk kes positif yang tidak bergejala akan dikuarantin di rumah dan yang bergejala akan dihantar ke Pusat Kuarantin," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.