ad
AGENDA

Elak muflis, orang muda digesa tidak buat pinjaman peribadi, kad kredit

18 Jun 2021, 5:52 AM
Elak muflis, orang muda digesa tidak buat pinjaman peribadi, kad kredit
Elak muflis, orang muda digesa tidak buat pinjaman peribadi, kad kredit

SHAH ALAM, 18 JUN: Kajian menunjukkan antara faktor kebankrapan terutama dalam kalangan anak muda adalah disebabkan pinjaman peribadi, kereta dan memiliki kad kredit.

Perunding Kewangan Firdaus Pay berkata keadaan itu berlaku kerana golongan terbabit hidup di luar kemampuan sehingga menjurus kepada kegawatan peribadi.

"Individu berumur 20 hingga 30 tahun paling berisiko muflis kerana ketika ini mereka baru bekerja, ada pendapatan dan mahu kenal dunia dengan merasa ada duit sendiri.

[caption id="attachment_475724" align="alignleft" width="231"] Perunding Kewangan Firdaus Pay[/caption]

"Masa inilah mahu cuba semua, nak beli semua dan memuaskan nafsu berbelanja. Kita sepatutnya hidup di bawah kemampuan dan elak hidup bermewah," katanya menerusi temu bual secara langsung di Facebook Media Selangor pada Rabu.

Beliau menjelaskan dua bentuk pinjaman tersebut membebankan peminjam kerana mereka terpaksa menggunakan pendapatan sekarang untuk membayar hutang selain menjejaskan gaji bulanan.

"Contoh paling ketara ialah pinjaman peribadi, jika seseorang buat pinjaman RM50,000 selama 10 tahun. Kita dah guna wang tersebut untuk perbelanjaan tidak berfaedah tetapi kita masih membayar pinjaman selama 10 tahun.

"Begitu juga penggunaan kad kredit tanpa had. Contoh bank bagi had perbelajaan RM10,000 walaupun pendapatan kita tidak sampai jumlah tersebut," katanya.

Graduan lulusan ijazah sarjana perakaunan forensik dan jenazah kewangan itu juga menyarankan individu berdepan krisis kewangan menggunakan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai langkah terakhir.

"AKPK akan membantu kita untuk urus kewangan dan dia akan berhubung dengan pihak bank untuk merendahkan komitmen bulanan kita.

"Bila kita sudah meminta pertolongan AKPK bermakna kita sudah gagal mengawal kewangan. Jika ada alternatif lain yang boleh kurangkan perbelanjaan, itu lebih baik," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.