ad
AGENDA

Tempoh sah baucar pelancongan Selangor dilanjut hingga hujung tahun

17 Jun 2021, 3:45 AM
Tempoh sah baucar pelancongan Selangor dilanjut hingga hujung tahun

SHAH ALAM, 17 JUN: Tempoh sah baucar pelancongan Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! dilanjutkan sehingga hujung tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor berkata lanjutan tempoh sah yang sepatutnya tamat pada 31 Jun ini akan dimaklumkan industri pelancongan kepada pemegang baucar.

"Tanggungjawab industri pelancongan untuk memaklumkan lanjutan tempoh kepada pelanggan mereka.

"Industri pelancongan juga sedia maklum tentang pelanjutan tempoh baucar kerana termaktub dalam terma dan syarat," kata Ahmad Nazri Dashriq kepada Selangorkini.

Tambah beliau sebanyak 10,000 baucar pelancongan bernilai RM200 setiap satu berjaya ditebus sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sejak mula dilancar pada 8 Januari lalu.

Pada 11 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKP 3.0 disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian Covid-19 yang masih tinggi.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu dan tempoh sah baucar sehingga 31 Jun.

Pada 5 April, Tourism Selangor berkata 10,000 baucar habis ditebus menerusi platform e-dompet Lazada dan Touch ‘n Go untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.