ad
AGENDA

Tabung Haji: Elak terpengaruh tawaran pakej haji

13 Jun 2021, 5:27 AM
Tabung Haji: Elak terpengaruh tawaran pakej haji

SHAH ALAM, 13 JUN: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pihak menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata ia susulan keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dilaksanakan oleh warganegaranya dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara itu.

“Keputusan penangguhan tahun ini menunjukkan keprihatinan kerajaan Arab Saudi mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran wabak Covid-19,” kata Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya bakal haji yang diperuntukkan giliran mereka pada tahun lalu dan telah diberi keutamaan menunaikan haji pada tahun ini akan diberi keutamaan sekali lagi tahun hadapan.

“Bagi bakal haji yang gilirannya pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun hadapan, namun ia tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

“TH mohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim hadapan,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.