ad
AGENSI

Jais batalkan Penilaian Sekolah Rendah Agama, ganti taksiran baharu

11 Jun 2021, 12:59 AM
Jais batalkan Penilaian Sekolah Rendah Agama, ganti taksiran baharu

SHAH ALAM, 11 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membatalkan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang dijadualkan pada 23 hingga 27 Ogos.

Pengarahnya dalam kenyataan menyebut keputusan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan trend semasa jangkitan Covid-19 yang meningkat.

Dato' Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan pentaksiran baharu yang setara dan seimbang akan menggantikan syarat dan kriteria pemilihan pelajar ke tingkatan satu bagi sesi 2022.

"Situasi membimbangkan dan tidak menentu sangat memerlukan usaha dan inisiatif Jais bagi memastikan kesan dari Covid-19 di Selangor tidak menjadi sebab yang boleh menggugat keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan pelajar, guru, petugas peperiksaan, ibu bapa dan seterusnya masyarakat umum.

"Pada masa sama, keputusan ini akan turut membantu usaha berterusan semua pihak melandaikan lekuk penularan Covid-19," katanya menambah kemasukan baharu meliputi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor.

Mohd Shahzihan turut berpandangan pembelajaran formal yang bukan seperti biasa memberi dampak besar terhadap kemampuan guru dan pelajar menghadapi persediaan PSRA seperti lazimnya.

"Jais mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru SRA Selangor yang mengambil pelbagai inisiatif bersesuaian dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) semasa PKP.

"Terima kasih juga kepada ibu bapa kerana bersama-sama Jais dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.