ad
AGENDA

Lengkap dua dos vaksin, warga emas tetap buat saringan

10 Jun 2021, 2:02 AM
Lengkap dua dos vaksin, warga emas tetap buat saringan
Lengkap dua dos vaksin, warga emas tetap buat saringan

SABAK BERNAM, 10 JUN: Biarpun lengkap menerima dua dos vaksin, seorang warga emas tetap menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah waspada susulan kebimbangan penularan 'pembawa senyap' wabak  sejak kebelakangan ini.

Hadir bertongkat, Hasnah Zakaria, 71, ditemani anaknya Lizawati Abdul Samad, 37, mendapatkan khidmat saringan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri di Stadium Sungai Besar di sini semalam.

Lizawati yang juga guru di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra berkata ibunya yang mempunyai sakit darah tinggi dan kencing manis, tidak menolak pelawaan membuat saringan demi keselamatan diri.

[caption id="attachment_474928" align="alignright" width="500"] Hasnah Zakaria, 71[/caption]

"Dia (ibu) dapat vaksin Pfizer BioNTech akhir bulan lalu tetapi saya bawa dia buat saringan sebab virus ini dikatakan mudah tersebar melalui udara dan tidak tahu sama ada dijangkiti atau sebaliknya,” katanya.

Seorang suri rumah Siti Kalilah Sukri, 51, bersama tiga anak melakukan pemeriksaan tersebut bagi mengelak risiko jangkitan terhadap suaminya yang menderita penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu.

"Suami sekarang menerima rawatan di Hospital Selayang dan akan kembali ke rumah esok (hari ini). Pagi tadi, dia hubungi saya serta maklumkan untuk bawa anak-anak buat saringan sebab sudah dekat dengan rumah," katanya.

Sementara itu, petani, Mohd Shahid Samiran, 54, bersama isteri dan seorang anak bergegas ke lokasi saringan sebaik selesai melakukan kerja di sawah kerana mahu dirinya dan keluarga bebas jangkitan selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di sekitar kampung.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.