ad
AGENSI

Ramai warga emas sertai saringan percuma di luar bandar

8 Jun 2021, 8:26 AM
Ramai warga emas sertai saringan percuma di luar bandar

HULU SELANGOR, 8 JUN: Majoriti peserta Saringan Komuniti di kawasan luar bandar membabitkan warga emas, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Berikutan itu, Dr Muhammad Farhan Rusli berkata petugas khas ditempatkan di setiap lokasi bagi memudahkan proses pendaftaran golongan terbabit.

"Selain warga emas ramai, ramai juga individu yang mendaftar terus di lokasi tanpa menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). Mungkin mereka tidak tahu jadi kita bantu.

"Berbanding kawasan bandar, kebanyakan peserta adalah golongan muda dan pendaftaran menerusi SELangkah juga tinggi," katanya ditemui pada program saringan di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Sementara itu, Dr Muhammad Farhan menjangka seramai 1,000 individu menjalani ujian Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dan Hulu Bernam.

"Kami turut menyediakan kaunter program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) sebagai langkah proaktif membantu rakyat negeri ini mendaftar suntikan vaksin," katanya.

Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang

status kesihatan diri selesai dijalankan di 52 DUN setakat ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.