ad
AGENDA

Tiga bomba kena renjatan elektrik padam rumah atas air terbakar

16 Mei 2021, 12:28 AM
Tiga bomba kena renjatan elektrik padam rumah atas air terbakar

KOTA KINABALU, 16 MEI: Kira-Kira 15 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Meruntum, Lok Kawi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Mohd Ali Ismail berkata kejadian dipercayai bermula pada 5.30 petang dan pihaknya menerima laporan kira-kira 10 minit selepas itu sebelum api berjaya dikawal pada 8.01 malam ini.

Beliau berkata tiga anggota bomba mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan operasi memadam kebakaran itu.

"Ketiga-tiga anggota itu mengalami kecederaan tidak serius dan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I serta Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut, mereka berada dalam keadaan stabil.

"Setakat ini, kita tengok 15 buah rumah terlibat tetapi kita akan buat pemeriksaan lagi tengok kerosakan semua, selepas ini kita akan memadam sisa-sisa yang terbakar sebelum menyiasat punca kebakaran itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Ali berkata seramai 25 anggota dan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran daripada Balai Bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dengan dibantu pasukan bomba Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Lok Kawi yang terletak berhampiran kawasan kejadian.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.