ad
AGENDA

Ingkar SOP: Selebriti media sosial dikompaun RM1,500

4 Mei 2021, 2:52 PM
Ingkar SOP: Selebriti media sosial dikompaun RM1,500

PUTRAJAYA, 4 MEI: Seorang instafamous dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dalam video adegan raya melibatkan anggota polis berpakaian uniform yang dimuat naik di laman sosial miliknya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali dalam kenyataan berkata kompaun kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara itu dikeluarkan selepas lelaki terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, semalam.

Mengulas mengenai video tersebut, beliau berkata pihaknya mengesan ia dimuat naik individu terbabit pada 9.15 malam, Ahad lepas dan semakan mendapati lokasi adegan raya itu dilakonkan di Bukit Rimau, Presint 3, di sini.

“Video tersebut turut melibatkan kenderaan polis jenis Proton Preve serta kenderaan persendirian jenis Honda City milik lelaki tempatan dan anggota yang terlibat dalam adegan lakonan tersebut berpakaian penuh uniform,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Fadzil berkata dalam video berkenaan, individu terbabit tidak memakai pelitup muka selain dilihat mempersendakan alasan-alasan yang diberikan bagi tujuan rentas negeri.

Menurut beliau, dua anggota polis dan seorang anggota tentera yang terlibat dalam video tersebut sedang bertugas dalam pasukan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan IPD Putrajaya.

“Saya tidak pernah membenarkan video tersebut dirakam atau dikeluarkan dan tiada sebarang bayaran atau sagu hati diterima oleh pihak polis dalam hal ini,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.