ad
AGENDA

Perkenal sistem baharu, ganti penilaian prestasi pelajar

28 Apr 2021, 3:50 PM
Perkenal sistem baharu, ganti penilaian prestasi pelajar
Perkenal sistem baharu, ganti penilaian prestasi pelajar

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sudah tiba masanya satu sistem baharu diperkenal dalam pendidikan negara bagi menggantikan penilaian prestasi pelajar yang bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sistem pendidikan negara mengalami situasi kucar-kacir dalam tempoh dua tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

"Sudah lebih 20 tahun saya dengar penilaian tidak berdasarkan peperiksaan tetapi itu hanya kata-kata (sebaliknya) kita masih bergantung sebahagian besarnya dengan peperiksaan.

[caption id="attachment_465682" align="alignright" width="500"] Seorang pelajar Sekolah Victoria Institution di Kuala Lumpur mengaminkan bacaan doa kesyukuran setelah selesai menjawab kertas soalan Sains Komputer pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA[/caption]

"Jadi, ini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama berfikir sejauh mana pendidikan dalam bentuk keputusan peperiksaan itu akan menjamin masa depan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato' Menteri Besar di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin mengakui mekanisme tersebut memberi cabaran besar untuk kerajaan memperkasa sistem pendidikan dalam norma baharu.

"Sebab itu, kita (Kerajaan Negeri) menyediakan bahan dengan pelbagai cara supaya mereka (pelajar) tidak terlepas," katanya.

Hari ini, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini.

Menteri kanan pendidikan berkata pemansuhan UPSR yang diperkenal sejak 1988 mengambil kira pandangan banyak pihak termasuk 1,700 peserta sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Datuk Dr Radzi Jidin turut mengumumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dibatalkan, namun konsep penilaian masih dikekalkan dengan sistem pentaksiran kebangsaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.