ad
AGENDA

Vaksin AstraZeneca diberi kepada individu secara sukarela

28 Apr 2021, 7:46 AM
Vaksin AstraZeneca diberi kepada individu secara sukarela

SHAH ALAM, 28 APRIL: Vaksin AstraZeneca akan diberikan kepada orang ramai secara sukarela melalui pusat pemberian vaksin (PPV) khas dalam tempoh terdekat.

Menteri Sains Khairy Jamaluddin menjelaskan keputusan dibuat selepas mengambil kira kegusaran masyarakat terhadap tahap keselamatan vaksin berkenaan, lapor Berita Harian.

"Dalam hal ini, saya dan Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) sudah berbincang dengan teliti mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca.

"Kita tidak mahu bazirkan tetapi memahami dalam keadaan hari ini mungkin sains dan fakta tidak dapat mengatasi kebimbangan orang ramai dan berita palsu," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Khairy berkata vaksin itu diagih dalam sistem tempahan secara 'siapa cepat dia dapat' selain tiada had.

Vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh Serum Institute of India (SII) dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.

Program suntikan vaksin di seluruh negara bermula pada 24 Februari dengan sasaran 500,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat.

Fasa kedua imunisasi bermula April hingga Ogos membabitkan 9.4 juta warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pula dijadual pada Mei hingga Februari tahun depan yang menyasar sekitar 13.7 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.