ad
BERITA UTAMA

MB: Tawas 2.0 ditambah baik, dapat dividen

25 Apr 2021, 2:30 PM
MB: Tawas 2.0 ditambah baik, dapat dividen

GOMBAK, 25 APRIL: Kerajaan Negeri bakal menambah baik Tabung Warisan Anak Selangor 2.0 (Tawas 2.0) yang lebih efektif, mulai tahun depan.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata tabung tersebut akan melibatkan elemen pelaburan yang bakal menjana pulangan dividen kepada pencarum Tawas.

"Sebelum ini Tawas yang kita ada tidak lengkap, tiada format simpanan bersama pelaburan. Oleh itu, setiap tahun kita tidak membebankan simpanan Kerajaan Negeri dan wang yang ada boleh belanja untuk pembangunan.

"Kita mahu Tawas 2.0 ini setidaknya seperti Amanah Saham Bumiputera. Insya-Allah kita akan muktamadkan dan umum dalam Belanjawan 2022 akan datang," katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan dan serahan sumbangan di Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) cawangan Kampung Nakhoda di sini hari ini.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.