ad
AGENDA

Majikan belasah pekerja kerana puasa didakwa esok

21 Apr 2021, 2:25 PM
Majikan belasah pekerja kerana puasa didakwa esok

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majikan yang juga suspek utama kes pukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa minggu lepas akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang dan Kuala Lumpur esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk membuat pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah salah seorang mangsa.

Beliau berkata majikan itu juga akan dituduh bawah Seksyen 109/324 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengarahkan pembantunya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan dan di bawah Seksyen 323 Kanun yang sama kerana menampar serta menyerang perut salah seorang mangsa menggunakan lutut.

“Suspek utama itu juga akan tuduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan kedua-dua mangsa mengenai agama yang dianuti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ezanee berkata seorang pembantu majikan itu juga akan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun yang sama kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan.

Ezanee berkata seorang lagi pekerja majikan itu dicadangkan supaya dibebaskan tanpa syarat memandangkan dia tiada sebarang kaitan dengan kejadian, manakala dua lagi yang juga pekerja majikan itu dilepaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.