ad
AGENDA

Kerjasama Selgate-IMU tambah pekerja mahir bidang kesihatan

13 Apr 2021, 3:53 PM
Kerjasama Selgate-IMU tambah pekerja mahir bidang kesihatan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate Healthcare) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama International Medical University (IMU) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan dan mengurangkan pengangguran.

Pengarah eksekutif Selgate Healthcare berkata usaha ini akan memanfaatkan graduan lepasan institut pengajian awam dan swasta terutama yang masih belum bekerja mendapat latihan daripada universiti itu  serta ke dunia pekerjaan sebagai “Pembantu Perubatan untuk Jururawat dan Penjagaan Warga Emas”.

"Kerjasama sinergi akan diterajui terutamanya dalam bidang pembangunan modal insan, penglibatan komuniti dan kerjasama industri. Ia dapat mengurangkan kadar pengangguran graduan serta membantu meningkatkan ekonomi khususnya dalam industri kesihatan,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan menerusi MoU ini juga Selcare Nursing akan mendapat graduan terlatih untuk berkhidmat di dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor IMU Prof Abdul Aziz Baba menyifatkan kerjasama ini tepat pada masanya di saat perkembangan pantas teknologi melibatkan bidang kesihatan.

"Industri penjagaan kesihatan berubah dengan pantas dengan perkembangan teknologi. Menerusi kolaborasi ini kami dapat melengkap dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja hari ini dan esok dengan keupayaan yang relevan untuk memenuhi permintaan industri, ”katanya.

Majlis MoU itu turut dihadiri Pro Naib Canselor, Perhubungan dan Rakan Industri IMU, Prof Toh Chooi Gait serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare, Dr Nurul Mu’az Omar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.