ad
AGENDA

MB: Nestle labur RM150 juta di Selangor bukti keyakinan pelabur

8 Apr 2021, 4:22 AM
MB: Nestle labur RM150 juta di Selangor bukti keyakinan pelabur

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Nestle Malaysia (Nestle) mewujudkan Pusat Pengeluaran Makanan Berasaskan Tumbuhan Nestle membabitkan pelaburan hampir RM150 juta.

Dato' Menteri Besar berkata Selangor bertuah dapat menjadi tuan rumah kepada kemudahan berteknologi tinggi yang bakal menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan berkualiti untuk pasaran tempatan dan import.

"Pusat ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan menjadi cerminan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan pentadbiran Kerajaan Negeri," kata Dato' Seri Amirudin Shari dalam kenyataan menerusi Facebook.

Semalam, beliau mengiringi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke pusat berkenaan di sini.

Amirudin berkata pusat pengeluaran berteknologi tinggi (state of the art) bukan sahaja baik kepada semua malah dibangunkan secara lestari untuk alam kerana hampir setiap elemen pembungkusannya boleh dikitar semula.

"Tahniah Nestle atas komitmen baik terhadap alam sekitar malahan melengkapi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menjadi panduan global saat ini," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.