ad
AGENDA

Sistem pemarkahan: BAM 'tunggu dan lihat'

6 Apr 2021, 12:06 AM
Sistem pemarkahan: BAM 'tunggu dan lihat'

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mempertimbangkan maklum balas pemain dan jurulatih sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menggunakan sistem permarkahan baharu selepas Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata selain pemain dan jurulatih, BAM juga akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap pendirian negara lain mengenai cadangan oleh Indonesia dan Maldives itu yang menerima persetujuan Presiden BWF Poul-Erik Hoyer.

“Saya percaya ia amat penting untuk mendapatkan data yang relevan daripada pemain, jurulatih dan negara lain mengenai sistem permarkahan baharu itu sebelum keputusan muktamad diputuskan bulan depan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Mengikut laporan media asing, BWF akan mengundi bulan depan mengenai cadangan menukar sistem pemarkahan semasa iaitu 21 mata dalam tiga set kepada 11 mata dalam lima set dalan usaha meningkatkan sensasi perlawanan dan menjadikan sukan itu lebih menarik untuk ditonton di televisyen.

Ditanya pandangan peribadinya, Goh berkata BWF perlu mengadakan ujian terlebih dahulu melibatkan kejohanan besar bagi menila keberkesanan sistem baharu yang dicadangkan itu.

Walau bagaimanapun, undi majoriti dua pertiga daripada anggota badan dunia itu diperlukan untuk melaksanakan sistem itu yang akan diputuskan pada mesyuarat agung tahunan BWF yang akan diadakan secara maya pada 22 Mei ini.

Cadangan sama telah digerakkan untuk menukar sistem permarkahan pada 2014 dan 2018 tetapi gagal mendapat perhatian anggota BWF.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.