ad
AGENDA

Sudah tiba masa naikkan kompaun ingkar SOP - KPN

30 Jan 2021, 3:18 PM
Sudah tiba masa naikkan kompaun ingkar SOP - KPN

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.

"Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan. Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata anggotanya telah diarahkan untuk mengeluarkan saman kepada mereka yang ingkar tanpa memberi ruang dilepaskan dengan amaran.

Abdul Hamid berkata sepanjang menjalankan tugas ketika PKP dilaksanakan, seramai 474 warga PDRM positif Covid-19 manakala 1,628 lagi menjalani kuarantin.

“Amat menyedihkan apabila petugas barisan hadapan yang dijangkiti ini terpaksa dirawat oleh satu kelompok lagi petugas barisan hadapan di hospital,” katanya.

Penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini, dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan semalam dan hari ini pula 5,728 kes dicatatkan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.