ad
AGENDA

Tingkat keselamatan elak jadi mangsa jenayah siber - CFM

25 Jan 2021, 7:32 AM
Tingkat keselamatan elak jadi mangsa jenayah siber - CFM

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Pengguna media sosial dinasihatkan sentiasa berwaspada serta lebih berhati-hati dalam melindungi keselamatan platform dalam talian mereka, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menunjukkan trend peningkatan penggunaan medium itu.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Datin Mohana Mohariff berkata, terdapat laporan dan statistik daripada pihak berkuasa menunjukkan peningkatan jumlah mangsa jenayah siber seperti penipuan, penggodaman dan pencurian identiti, pada setiap hari.

Justeru katanya, bagi mengurangkan masalah itu, semua pengguna harus bersikap proaktif dalam melindungi keselamatan dalam talian mereka.

“Beberapa petua penting bagi mengekalkan keselamatan dalam talian termasuk mengemas kini semua perisian dan 'firmware’ di peranti termasuk telefon bimbit, tablet dan penghala (router), rumah.

“Pengguna juga harus menukar kata laluan yang biasa dan menggunakan kata laluan yang kuat, serta jangan klik pada e-mel, mesej atau pautan yang kelihatan pelik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan pengguna menggunakan pengesahan dua-faktor (2FA) sebagai langkah lanjut, untuk membuktikan identiti mereka di luar kata laluan atau token pengesahan sekali pakai, untuk mengakses akaun.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan penyelesaian antivirus yang kuat untuk peranti selain Rangkaian Peribadi Maya (VPN), untuk mengelakkan trafik data diintip atau diganggu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.