ad
BERITA UTAMA

Penghuni PPR boleh tangguh bayar sewa dua bulan

23 Jan 2021, 10:39 AM
Penghuni PPR boleh tangguh bayar sewa dua bulan

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Negeri memberi kelonggaran kepada hampir 3,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) membayar penangguhan sewa dua bulan mengikut kemampuan.

EXCO perumahan berkata jumlah penangguhan pada bulan depan dan Mac perlu dibayar dengan sewa semasa pada bulan seterusnya tanpa menetapkan tempoh perlu diselesai.

"Jumlah penangguhan sewa dua bulan pada kadar RM500 tetapi kita bersetuju membenarkan penyewa bayar RM50 sebulan sekiranya jumlah ini yang mampu.

"Pada April penyewa akan membayar sewa bulanan RM250 bersama duit penangguhan sewa RM50, kita harap inisiatif ini meringankan beban rakyat," kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Pada Rabu Dato' Menteri Besar mengumumkan pengecualian sewa bulan Januari dan penangguhan sewa Februari dan Mac untuk 2,361 penyewa PPR dan penangguhan sewa tiga bulan (Januari- Mac) untuk 450 penyewa Skim Smart Sewa melibatkan kos RM2.7 juta.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri.

Pada 20 Mac tahun lepas penghuni PPR turut diberi pengecualian sewa bulanan selama tiga bulan bermula April.

Mereka yang tetap membuat dalam tempoh penangguhan tersebut layak menikmati pulangan tunai 30 peratus.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.