ad
AGENDA

Agenda pendigitalan: Kerajaan Negeri tidak pinggir nilai kemanusiaan

21 Jan 2021, 7:33 AM
Agenda pendigitalan: Kerajaan Negeri tidak pinggir nilai kemanusiaan

SHAH ALAM, 21 JAN: Dalam usaha merancakkan agenda pendigitalan, Kerajaan Negeri tidak sesekali meminggirkan nilai kemanusiaan dalam sistem pengurusan dan perkhidmatan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata tanpa bergantung sepenuhnya pada teknologi, nilai insani wajar dipertahankan bagi menjaga sensitiviti orang awam.

"Nilai ini seharusnya ditonjolkan oleh pentadbiran sama ada pejabat saya sendiri, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri termasuk muka hadapan dan belakang kaunter yang kerap bertemu rakyat.

"Walaupun kadangkala sebahagian mereka (rakyat) yang datang bukan atas urusan dengan jabatan berkaitan tetapi mereka mungkin memerlukan bantuan dan sokongan apatah lagi dengan keadaan semasa Covid-19," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2021 hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri sentiasa mencari pendekatan baharu bagi melaksanakan program pemberdayaan yang mampu memenuhi dan mengimbangi keperluan rakyat.

"Sebab itu, kita meneruskan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss), Skim Peduli Sihat, bantuan yuran asas, Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan Roda Darul Ehsan (RiDE)," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.