ad
AGENDA

Suruhanjaya Tenaga: Jangan guna kelengkapan elektrik terendam air

9 Jan 2021, 12:34 AM
Suruhanjaya Tenaga: Jangan guna kelengkapan elektrik terendam air

PUTRAJAYA, 9 JAN: Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihati orang ramai agar tidak menggunakan kelengkapan elektrik yang terendam dalam air selain memastikan barangan itu diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.

Sebelum suis utama dihidupkan, semua pendawaian dan kelengkapan elektrik di dalam rumah perlu diperiksa oleh kontraktor elektrik bertauliah atau berdaftar dengan ST.

Menurut ST, pengetahuan mengenai risiko bahaya elektrik ketika musim banjir adalah penting bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin dan mencegah daripada kemalangan yang mungkin berpunca daripada elektrik.

“Banjir boleh membawa kepada pelbagai kemudaratan dan impak negatif yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

“Sebagai contoh, tiang elektrik patah atau tumbang atau tiang elektrik ada kebocoran arus, talian elektrik putus atau jatuh, serta kabel bawah tanah terputus akibat banjir boleh mendatangkan bahaya renjatan elektrik kepada orang ramai,” menurut kenyataan ST.

Jika berkesempatan sebelum di arah berpindah, ST meminta agar penghuni rumah memastikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’ dan mencabut palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik.

Penghuni juga disarankan menyimpan kelengkapan elektrik di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.

“Laporkan segera kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya,” menurut kenyataan itu.

ST juga menasihati mangsa banjir sentiasa mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik kerana paras air tinggi menyebabkan talian mudah disentuh terutama pada waktu malam.

“Jauhkan diri daripada lokasi terdapat talian elektrik jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik dan jangan menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.