ad
AGENDA

Risiko banjir berulang, mangsa mungkin kembali ke pusat pemindahan

6 Jan 2021, 12:13 AM
Risiko banjir berulang, mangsa mungkin kembali ke pusat pemindahan
Risiko banjir berulang, mangsa mungkin kembali ke pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut, mungkin akan kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS), berikutan terdapat risiko berlakunya kejadian gelombang banjir berulang, ketika Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata kejadian banjir juga mungkin berlaku sekali lagi, sepanjang musim tengkujuh ini, walaupun cuaca semakin baik, sejak semalam.

"Terdapat kemungkinan berlaku hujan lebat di Kelantan dan Terengganu pada 8 dan 9 Januari," katanya ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama TV, Ruang Bicara bertajuk Monsun Timur Laut 2021: Peka dan Waspada yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

[caption id="attachment_455946" align="alignleft" width="500"] Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor mengangkat barang seperti tikar, selimut, bantal dan barang keperluan lain untuk diedarkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA[/caption]

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Norhafifi Ismail menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan ketika musim tengkujuh.

"Pada musim tengkujuh, terdapat kemungkinan berlaku banjir, tanah runtuh, jalan putus yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya terkandas. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika pengguna jalan raya tidak membawa bekalan makanan dan minuman dalam perjalanan," katanya.

Norhafifi berkata langkah mengurangkan pergerakan adalah bersesuaian dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya orang ramai tidak keluar rumah bagi perkara yang tidak mustahak untuk membendung penularan Covid-19.

Sehingga malam tadi, keadaan banjir yang melanda Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa dipindah ke PPS semakin berkurangan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di PPS Pahang merekodkan sedikit peningkatan iaitu 18,217 orang malam tadi berbanding 17,747 orang pada waktu siang.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.