ad
BERITA UTAMA

Penjaja Puchong Permai diberi cukup tempoh kosongkan premis

5 Jan 2021, 10:34 AM
Penjaja Puchong Permai diberi cukup tempoh kosongkan premis

SHAH ALAM, 5 JAN: Penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019.

Notis pengosongan lokasi pertama kali dikeluarkan pada 24 September 2019 dan sekali lagi pada 13 Mei 2020 sebelum operasi perobohan dilaksanakan.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata perobohan ditangguh lagi selepas penjaja merayu tempoh sehingga November 2020.

Azfarizal Abdul Rashid menjelaskan pihaknya juga sudah mengadakan tiga kali perbincangan dengan peniaga berkenaan berhubung pemindahan tersebut.

"Operasi perobohan yang dilaksanakan pada 28 Disember 2020 mengambil kira tempoh mencukupi dan kesediaan pusat penjaja baharu untuk pemindahan peniaga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah terdapat 36 peniaga di situ berdasarkan tiga kali bancian mulai 2019 dan hanya 31 daripadanya layak dipindahkan.

Pada 28 Disember 2020, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan dan melanggar syarat.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.