ad
ADN

60 isi rumah Seri Jugra terima bantuan makanan

2 Jan 2021, 3:39 PM
60 isi rumah Seri Jugra terima bantuan makanan
60 isi rumah Seri Jugra terima bantuan makanan

BANTING, 2 JAN: Seramai 60 ketua isi rumah di bawah pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini terpilih menerima bantuan bakul makanan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Morib berkata sumbangan makanan kering bernilai RM100 bagi meringankan beban golongan sasar yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

Hasnul Baharuddin memaklumkan agihan itu dilaksana sejak pandemik Covid-19 tahun lalu melalui peruntukan pihaknya dan MPKK terbabit.

"Bantuan ini sebagai bukti komitmen kami yang sentiasa turun padang untuk membantu rakyat terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga daif," katanya pada program penyerahan sumbangan itu.

[caption id="attachment_455593" align="alignright" width="500"] Noraini Zakdin, 53, bercakap kepada media selepas Program Agihan Bakul Makanan di Kampung Sungai Raba, Banting pada 2 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Sumbangan disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan merangkap wakil rakyat Tanjung Sepat Borhan Aman Shah di Balai Raya MPKK Seri Jugra di sini.

Sementara itu, penerima Nor Rambah Junet, 63, terharu atas keprihatinan pihak berkaitan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan.

"Bantuan ini sememangnya diperlukan kerana mampu mengurangkan kos perbelanjaan, apatah lagi sumber pencarian kami sekeluarga terputus pada waktu ini akibat wabak," kata ibu kepada dua anak.

Perasaan sama dikongsikan Noraini Zakdin, 53, yang berharap lebih banyak bantuan seperti itu disalurkan kepada individu memerlukan pada masa akan datang.

"Syukur Alhamdulillah dengan rezeki diberikan. Semoga pihak yang memberi bakul makanan ini dilimpahkan rezeki dan dikurnia kesihatan berterusan," katanya yang menetap di Kampung Cantik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.