ad
AGENDA

Bukit Aman patahkan cubaan seludup rokok RM3.5 juta

15 Dis 2020, 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia mematahkan cubaan penyeludupan rokok membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM3.5 juta.

Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata dalam serbuan yang dijalankan di Kulim, Kedah semalam, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun untuk membantu siasatan.

“Bertindak atas maklumat orang awam, Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA, Bukit Aman telah melancarkan satu operasi ke atas satu sindiket pengedaran rokok seludup, dipercayai bergiat aktif sekitar utara semenanjung negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azri berkata dalam operasi itu, sejumlah 4,470,000 batang rokok putih seludup pelbagai jenama dirampas berserta sebuah lori 10 tan dan empat buah 'intermediate bulk containers' (IBC) water tank.

“Susulan itu suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Dis depan, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Sementara kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.