ad
SELANGOR

RM260,000 lesap, pencuri pecah mesin ATM di Klang

14 Dis 2020, 9:46 AM
RM260,000 lesap, pencuri pecah mesin ATM di Klang

SHAH ALAM, 14 DIS: Sekumpulan pencuri melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 daripada sebuah Mesin Teler Automatik (ATM) selepas mereka memecah masuk sebuah kedai serbaneka di Meru, Klang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, seramai empat hingga lima suspek disyaki terlibat memecahkan mesin ATM di dalam premis terbabit menggunakan gas 'Oxyacetylene'.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka itu, kesemua suspek yang memakai topeng memecah masuk premis berkenaan melalui pintu hadapan.

Mereka turut menyembur cat hitam pada CCTV bagi mengelakkan perbuatan mereka dirakam sebelum bertindak memecahkan mesin ATM disyaki dalam masa 30 hingga 40 minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada pukul 6.20 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.