ad
AGENSI

Petugas PKPD Medan 88 jalani saringan Covid-19- polis

24 Nov 2020, 2:30 PM
Petugas PKPD Medan 88 jalani saringan Covid-19- polis

SEPANG, 24 NOV: Kesemua 138 petugas daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini, menjalani saringan Covid-19 hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan berkata daripada jumlah keseluruhan petugas yang menjalani saringan Covid-19 itu, 67 daripadanya adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata mereka yang turut menjalani saringan Covid-19 terdiri daripada 19 petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 16 petugas Jabatan Sukarelawanan Malaysia (RELA), Pejabat Daerah Sepang (13 orang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (18) dan Jabatan Penerangan (lima).

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata Medan 88 masih berada di bawah PKPD dan pelaksanaan arahan berkenaan akan ditamatkan pada tengah malam Rabu.

Katanya, sejak PKPD dilaksanakan pada 12 November, seramai 43 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman sejurus mendapat maklumat kawasan itu dikenakan PKPD tampil menyerah diri.

Jumlah berkenaan membabitkan 32 lelaki dan 11 wanita, terdiri daripada 14 warga tempatan (11 lelaki dan tiga wanita); 19 warga Indonesia (15 lelaki dan empat wanita); tujuh Thailand (tiga lelaki dan empat wanita) dan masing-masing satu (Myanmar, India dan Nepal).

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.