ad
BERITA UTAMA

Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Selangor siap 61 peratus

2 Nov 2020, 4:13 AM
Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Selangor siap 61 peratus

SHAH ALAM, 2 NOV: Projek pembangunan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Selangor sudah disiapkan kira-kira 61.22 peratus sehingga September lalu.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata kerja pembinaan membabitkan Seksyen 1 iaitu dari Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Seksyen 2 dari SKVE ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

"Sasaran baharu bagi lebuh raya ini siap adalah pada 2024 berbanding sebelum ini awal 2023, kelewatan tersebut disebabkan kerana isu tanah di Seksyen 1 dan terdapat jajaran baharu.

"Pada masa sama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi penyumbang utama," kata Ir Izham Hashim ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Lau Weng San pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

WCE dibina sepanjang 233 kilometer menghubungkan di antara Taiping, Perak dengan Banting, Selangor membabitkan kos keseluruhan RM5.044 bilion.

Ia mempunyai 21 persimpangan dan turut dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk SKVE, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan (NSE), Lebuhraya Selat Klang Utara (NNKSB) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Pada 5 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata status kemajuan pembinaan WCE setakat 25 Jun lalu adalah pada kadar 66.51 peratus.

Katanya, pembukaan seterusnya bagi WCE yang merentasi Perak dan Selangor akan dilakukan pada pertengahan Ogos tahun depan, membabitkan jajaran Seksyen 11 lebuh raya berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.