AMPANG, 1 NOV: Usahawan kaum India dipelawa menyertai e-Bazar Sitham Deepavali 2020 dengan mendaftar menerusi rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).
EXCO pembangunan usahawan berkata melalui program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) peniaga boleh mengembangkan perniagaan secara dalam talian memandangkan tiada bazar perayaan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Kita akan menggunakan platform Seldec dan bekerjasama dengan Koperasi Yayasan Hijrah Selangor (Kohijrah) bagi membolehkan semua usahawan (berminat) mendaftar.
“Insya-Allah 100 usahawan pertama yang mendaftar awal akan menggunakan platform berkenaan secara percuma,” kata Rodziah Ismail selepas meninjau gerai jualan sempena Deepavali di Pusat beli-belah Galaxy Ampang hari ini.
Menurut Rodziah pendaftaran dibuka sehingga 15 November dan setakat hari ini sebanyak 2,124 permohonan diterima untuk menyertai Sitham dalam pelbagai program.
"Pelanggan turut berpeluang menikmati rebat berjumlah sehingga RM20 bagi setiap pembelian sepanjang e-bazar ini berlangsung," katanya.