ad
AGENDA

FAS tumpu pembangunan pemain muda, tingkat kemudahan pusat latihan

1 Nov 2020, 4:04 AM
FAS tumpu pembangunan pemain muda, tingkat kemudahan pusat latihan

SHAH ALAM, 1 NOV: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan memanfaatkan peruntukan RM20 juta dalam belanjawan negeri tahun depan bagi meningkatkan kemudahan sedia ada dan pembangunan pemain muda.

Setiausaha agungnya berkata pihaknya bersyukur di atas sokongan Kerajaan Negeri dan FAS bersedia melakukan yang terbaik demi kemajuan bola sepak Selangor.

"Kita akan menggunakan dana tersebut untuk meneruskan usaha meningkatkan kualiti jabatan teknikal, memampankan pembangunan elit pemain muda Selangor dan menaik taraf fasiliti di Pusat Latihan FAS," kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pengumuman Dato' Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada Jumaat lalu adalah kepercayaan terhadap transformasi serta perancangan jangka panjang dijalankan di bawah pentadbiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata peruntukan RM20 juta adalah bertujuan untuk pembangunan bola sepak iaitu RM10 juta daripada Kerajaan Negeri manakala bakinya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.