ad
AGENDA

Terus galakkan pertumbuhan mampan minyak sawit, tingkat daya saing - CEO Bursa

29 Okt 2020, 12:25 AM
Terus galakkan pertumbuhan mampan minyak sawit, tingkat daya saing - CEO Bursa
Terus galakkan pertumbuhan mampan minyak sawit, tingkat daya saing - CEO Bursa

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Penggiat industri minyak sawit perlu terus komited dalam melaksanakan pembangunan mampan dan menggalakkan pertumbuhan yang bertanggungjawab untuk industri, selain usaha mengurangkan impak daripada krisis kesihatan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift berkata walaupun Covid-19 dikatakan telah menjejaskan kira-kira 25 peratus daripada permintaan terhadap minyak makan dunia, usaha yang berterusan untuk memulihkan ladang perlu dilakukan bagi meningkatkan daya saing minyak sawit melalui produktiviti ladang yang ditingkatkan.

“Selain itu, kita perlu mempunyai galakan yang kuat terhadap pelaksanaan kemampanan. Saya yakin Malaysia telah melaksanakan dengan baik dalam bidang ini, apabila lebih 90 peratus daripada 452 kilang minyak kelapa sawit di negara ini telah mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.

“Kepelbagaian penggunaan minyak sawit dan pembukaan pasaran baharu adalah penting, dan kempen minyak sawit yang positif untuk menekankan tugas baik industri serta mendidik pengguna mengenai penggunaan minyak sawit mampan perlu diteruskan,” katanya dalam ucapan penutup pada Persidangan Minyak Sawit Maya 2020 semalam.

Muhamad Umar berkata pasaran luaran yang lemah, harga minyak mentah yang rendah serta gangguan kepada rantaian bekalan dan logistik akan memberi impak kepada semua negara pengeluar minyak sawit.

“Pandemik Covid-19 telah menjadi sumber kepada cabaran ekonomi yang besar, memberi impak kepada semua industri.

“Walaupun industri perladangan dianggap bernasib baik berbanding industri lain seperti penerbangan dan pelancongan, cabaran industri akan berterusan dalam jangka pendek,” katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.