ad
AGENDA

ATM siap siaga walau tiada darurat

25 Okt 2020, 11:50 PM
ATM siap siaga walau tiada darurat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara ini.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata penugasan anggota ATM kekal berjalan seperti biasa.

"ATM dalam keadaan stand by (siap siaga)," katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Berikutan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara, di sini petang semalam.

Perbincangan khas berkenaan adalah bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang Jumaat lepas.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.