ad
AGENDA

Pasukan forensik HKL dihantar ke Sabah, bantu bendung Covid-19

18 Okt 2020, 4:41 AM
Pasukan forensik HKL dihantar ke Sabah, bantu bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Seramai empat pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimobilisasi ke Hospital Tawau, Sabah hari ini, bagi menjalankan tugas perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di kawasan timur negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan forensik itu membabitkan seorang pakar perubatan forensik, dua pegawai perubatan dan seorang penolong pegawai perubatan.

“Bagi pakar perubatan forensik, beliau akan bertugas di Tawau selama tiga bulan. Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya menerusi Facebook pagi ini.

Sehingga semalam, seramai 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Hampir setiap hari terdapat kematian baharu akibat wabak itu direkodkan di Sabah sejak minggu lepas dan empat lagi kes maut dilaporkan di negeri itu semalam.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.