ad
AGENDA

MB: Taska tambahan anak petugas hadapan diaktif semula

16 Okt 2020, 4:05 AM
MB: Taska tambahan anak petugas hadapan diaktif semula

SHAH ALAM, 16 OKT: Selangor mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai pusat jagaan anak-anak petugas hadapan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dato' Menteri Besar berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata taska di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Bangunan SUK Selangor dan Bangunan Darul Ehsan turut dibuka.

"Semua taska (di hospital dan JKNS) terbuka untuk kakitangan perubatan sahaja, manakala taska di Bangunan SUK dan Bangunan Darul Ehsan boleh dimanfaatkan semua petugas hadapan, termasuk anak-anak anggota polis serta tentera.

"Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan petugas hadapan yang berkorban nyawa demi melandaikan keluk wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 Jun, Kerajaan Negeri memperkenalkan Insentif Penjagaan Anak-Anak Frontliners Covid-19 yang memperuntuk kadar bantuan bernilai RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April.

PKPB dikuat kuasa di seluruh Selangor bermula kelmarin hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.