ad
BERITA UTAMA

Selangor rekod pelaburan RM11.6 bilion setakat Jun

2 Okt 2020, 12:18 AM
Selangor rekod pelaburan RM11.6 bilion setakat Jun

SHAH ALAM, 2 OKT: Selangor berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM11.6 bilion membabitkan bidang pembuatan dan perkhidmatan sehingga Jun tahun ini.

EXCO Pelaburan Dato' Teng Chang Khim berkata sektor pembuatan menyumbang RM3.3 bilion manakala baki RM8.3 bilion diperoleh daripada sektor perkhidmatan.

"Keadaan ini berbanding tahun lepas agak rendah sedikit tetapi memandangkan pandemik (Covid-19) ini, kita (Kerajaan Negeri) sudah menjangka ia akan menjejaskan persembahan (pelaburan) kita.

"Bagaimanapun, kita masih berharap (pertambahan) kerana ada beberapa permohonan tahun lepas yang masih ditangguhkan, selain masih ada pertanyaan serta belum mendapat pengesahan. Buat masa ini sekurang-kurangnya ada RM5 bilion (pelaburan) yang kami dimaklumkan adalah disahkan cuma kita belum menerima permohonan secara rasmi," katanya selepas majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) semalam.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak dapat membuat promosi ke luar negara susulan pandemik walaupun Kerajaan Negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM12 bilion pada tahun ini.

Bagaimanapun, Chang Khim berkata pihaknya telah mengadakan dan menyertai 10 seminar berasaskan web (webinar) dan sambutan yang diterima sangat baik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.