ad
AGENDA

Covid-19: Sabah catat kluster ketujuh, Kluster Bangau-Bangau rekod lima kes

22 Sep 2020, 11:31 AM
Covid-19: Sabah catat kluster ketujuh, Kluster Bangau-Bangau rekod lima kes
Covid-19: Sabah catat kluster ketujuh, Kluster Bangau-Bangau rekod lima kes

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster di Sabah iaitu Kluster Bangau-Bangau di Semporna yang merupakan kluster ketujuh di negeri itu setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat hari ini, terdapat lima kes positif dikesan dalam kluster tersebut, iaitu kes ke-10,340 hingga ke-10,344 yang melibatkan empat rakyat tempatan dan satu warga asing.

“Kluster ini dikenal pasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna. Kesemua mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi kluster itu, seramai 97 individu disaring setakat ini dengan 92 masih menunggu keputusan, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Justeru, beliau berkata langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan manakala perkhidmatan di Hospital Semporna masih berjalan seperti biasa.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.