ad
AGENDA

JPS bina dinding lindungi rumah terjejas air pasang besar

20 Sep 2020, 6:59 AM
JPS bina dinding lindungi rumah terjejas air pasang besar

SHAH ALAM, 20 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membina dinding di sekeliling empat kediaman di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang sering terjejas susulan kejadian air pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor memaklumkan ketika ini JPS meletakkan satu unit pam berhampiran kawasan tersebut untuk menyedut keluar air laut yang melimpah.

"Kawasan penempatan yang dinaiki air pasang mulai surut beransur-ansur. Kerja-kerja pembaikan kekal ban akan dilaksanakan sebaik selesai fenomena ini," kata agensi tersebut dalam laporannya.

Kemasukan air pasang besar di kampung tersebut pagi semalam berikutan hakisan teruk pada benteng pantai sekali gus menjejaskan empat kediaman di kawasan berhampiran.

UPBN juga memaklumkan sebuah pusat pemindahan dibuka berdekatan Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa bagi menempatkan mangsa yang terkesan dengan insiden itu.

Kawasan lain yang turut terjejas di Kuala Selangor ialah Medan Muara Ikan Bakar Jeram, Pantai Remis, Sungai Sembilang, Apartmen Warisan Sungai Sembilang, Sasaran Sungai Buloh, Jeti Sungai Janggut dan Jalan Utama Klang-Telok Intan (Pasir Penambang).

Kelmarin, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat turut runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.