ad
AGENSI

STFC: Patuhi SOP, elak gelombang baharu covid-19

18 Sep 2020, 8:36 AM
STFC: Patuhi SOP, elak gelombang baharu covid-19

SHAH ALAM, 18 SEPT: Rakyat diseru mengambil iktibar daripada situasi Covid-19 di Korea Selatan yang terpaksa mengisytiharkan darurat susulan gelombang kedua wabak tersebut.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata akibat pengumuman itu hampir setengah juta perniagaan terjejas apabila waktu operasi dihadkan dan arahan penjarakan fizikal diperketatkan.

Sehubungan itu, STFC mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan mengamalkan norma baharu bagi mempertahankan negara daripada mengalami nasib sama seperti Korea Selatan.

"Bayangkan sekiranya gelombang kedua Covid-19 menyerang kita, semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah semula, perniagaan terhenti, tiada lagi aktiviti sosial di luar serta ekonomi negara pula menjadi semakin teruk. Adakah kita mampu melalui semua ini?," katanya.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga semalam, Korea Selatan merekodkan jumlah terkumpul kes jangkitan Covid-19 sebanyak 22,657 dengan 372 kematian.

Ia selepas gelombang kedua jangkitan melanda ibu negara itu dan kawasan sekitar, kira-kira tujuh bulan selepas kes pertama dilaporkan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.