ad
BERITA UTAMA

SAY anjur kayuhan 600km sempena sambutan Hari Malaysia

13 Sep 2020, 12:20 AM
SAY anjur kayuhan 600km sempena sambutan Hari Malaysia
SAY anjur kayuhan 600km sempena sambutan Hari Malaysia

KUALA LANGAT, 13 SEPT: Organisasi Selangor Youth Community (SAY) menganjurkan program berbasikal Selangor 600: ‘Our Community, Our Home’ sempena sambutan Hari Malaysia 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Rodzi berkata format berbasikal yang dipilih tahun ini diilhamkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah susulan perkembangan pandemik Covid-19.

“Sepanjang lima hari berlangsung bermula 8 September di Shah Alam, kita telah pergi ke setiap daerah dan mengunjungi rumah kebajikan seperti rumah warga emas, anak yatim serta orang kelainan upaya (OKU) selaras keperluan mereka.

“Keseluruhan program ini ilham daripada Tuanku Raja Muda supaya tahun ini kita menyambut Hari Malaysia dalam cara berbeza, walaupun ada pandemik Covid-19 tetapi tetap sokong sesama kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup program di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey di sini semalam.

[caption id="attachment_437883" align="aligncenter" width="659"] Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah disambut oleh anak-anak orang asal sempena acara penutup kayuhan Selangor 600: Our Community, Our Home di Perkampungan Budaya Mah Meri Pulau Carey, Kuala Langat pada 12 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Beliau menjelaskan program itu juga bertujuan memberi bantuan kepada petugas hadapan dan golongan memerlukan di sembilan daerah di Selangor.

Katanya, inisiatif berbasikal yang dikendalikan Cycling Selangor turut memfokuskan penglibatan wanita supaya mengamalkan gaya hidup sihat menerusi penampilan tiga pelumba iaitu Mariana Mohammad, Adila J Sam dan Agnes Lim.

Nurul Azwa berkata sepanjang 600km berbasikal, tiga pelumba berkenaan melalui kawasan Sekinchan, Bukit Fraser, Kuala Lumpur, Sepang dan berakhir di Perkampungan Budaya Mah Meri.

Lebih menarik, Tengku Amir Shah turut menyertai kayuhan hari terakhir sepanjang 80km selain melawat Pusat Aktiviti Warga Emas Pelangi Impian, Perpustakaan Budiman di Pantai Cunang sebelum mengakhiri program dengan menyempurnakan majlis penutup di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey.

Selain itu, mereka turut mengenalpasti beberapa lokasi menarik untuk dipromosikan sebagai pusat pelancongan sepanjang program yang berakhir semalam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.